Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Amir Meludah' tonjol mesej apolitikal
Diterbitkan:  Sep 6, 2014 1:48 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Seorang artis muda, Amir Meludah atau nama sebenarnya Amir Othman mengetengahkan pandangan apolitikal melalui album sulungnya yang diterbitkan oleh satu label tempatan.

EP dengan judul 'Amir Meludah' tersebut antara lainnya menonjolkan sikap anak muda yang tidak memihak kepada mana-mana sisi politik mainstream, baik kepada BN mahupun Pakatan Rakyat.

Sikap ini antara lainnya diabadikan dalam lagu berjudul 'Kotak Tong Sampah' yang menyatakan kemarahan anak muda tersebut ke atas sistem pilihan raya.

Bait-bait lagu itu antara lainnya menekankan pandangannya ke atas politik partisan:

“Pakatan haprak Barisan fasis, kuasa ketiga pula macam najis secebis, biawak gagak ular ulat paku pakis, baik koyak kertas pangkah sang elitis.”

Amir, 26, yang bergiat sejak dua tahun lalu kini telah menghasilkan kira-kira 50 lagu, menurut kenyataan dikeluarkan oleh labelnya, Alteraktif, yang berpengkalan di Kota Bharu, Kelantan.

Anak kelahiran Kajang, Selangor itu kini sedang menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang media sains komputer di Bauhaus Universität Weimar, Jerman.

Pendedahannya sejak di bangku sekolah dengan muzik hard rock, metal menemukannya dengan genre hip hop dengan gaya seperti beberapa MC Amerika Syarikat seperti Nasir Olu Dara Jones (Nas) dan Del Tha Funky Homosapien.

Alteraktif menggariskan kekuatan Amir pada lirik dalam bahasa Melayu dengan mesej yang lantang dan membawa falsafah moden seperti anarkisme dan sosialisme.

“Tidak seperti rakan dari komuniti hip hop yang seangkatan dengan beliau, lirik keras dan berat yang diludahkan oleh Amir sarat mengandungi metafora politik yang cerdik dan bijak.

“Ia mengajak para pendengar beliau untuk berfikir dan bukan hanya sekadar mendengar secara membuta tuli,” kata Alteraktif dalam kenyataannya.

Penerbit album tersebut mensasarkan golongan anak muda dan penggiat politik yang terdedah dengan fahaman politik berhaluan kiri seperti anarkisme.

Menurut Alteraktif, mesej seperti itu lazimnya diketengahkan melalui kumpulan punk rock atau hardcore punk.

Namun, label yang diusahakan oleh lima orang anak muda itu berharap mesej berkenaan juga akan dapat disuburkan dalam komuniti hip hop melalui EP 'Amir Meludah', yang dilancarkan pada 15 Ogos lalu.

Alteraktif boleh dihubungi melalui laman webnya, alteraktif.blogspot.com atau melalui emel: [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS