Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan haknya untuk mengemukakan nama calon kepada Sultan Selangor tanpa merujuk kepada jawatankuasa PAS pusat.
Katanya, ia sememangnya hak beliau sebagai ketua parti untuk memutuskan pelantikan jawatan penting seperti itu, mengikut amalan sebelum ini.
Ia boleh dilihat ketika PAS berjaya menguasai Terengganu dan Kelantan dalam pilihan raya sebelum ini, katanya lagi.
Jelaskan keputusan berhubung calon MB Kelantan dan Terengganu sebelum ini hanya dibuat di antara presiden parti dengan beberapa pemimpin lain.
Bercakap dalam satu program taklimat kepada penyokong parti di Marang semalam, Hadi berkata ketetapan seperti itu dibuat memandangkan parti berkenaan perlu membuat keputusan segera.
Katanya, sejak beliau berada dalam jawatankuasa pusat PAS pada 1978, pelantikan untuk jawatan tersebut tidak pernah dirujuk ke jawatankuasa itu.
“Perlembagaan PAS menyatakan presiden ada hak dia untuk membuat keputusan dalam beberapa perkara yang berkait dengan parti dan ahli parti.
“Timbalan (presiden), naib (presiden) ini kena dukung keputusan yang dibuat presiden,” katanya lagi.
Katanya, ketika PAS menguasai Kelantan pada 1990, presidennya pada masa itu, Datuk Fadzil Noor memutuskan untuk melantik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar.
“Ustaz Fadzil telefon saya, telefon kepada setiausaha agung, setuju nak lantik Tok Guru Nik Aziz jadi menteri besar, kita lantik terus... Tak perlu rujuk jawatankuasa pusat PAS.
“Begitu juga bila kita menang tahun 1995, tahun 1999 menang Terengganu, tak dibuat mesyuarat (jawatankuasa pusat) PAS,” katanya.
Kenyataan itu timbul selepas pejabatnya didakwa mengemukakan senarai nama yang berbeza dengan yang diputuskan oleh jawatankuasa pusat kepada sultan Selangor.
Difahamkan, senarai itu tidak termasuk nama presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali.
Tambahnya, PAS juga perlu tidak boleh menganggap sultan Selangor sebagai “tunggul kayu” dengan tidak mengikut permintaan baginda.
“Kalau kita hantar satu nama, dua nama, tunaku tulis surat suruh hantar lebih daripada dua nama, orang kata kita tak reti bahasa.
“Jadi orang PAS nak suruh pemimpin (jadi) bodoh? ...Kita pemimpin PAS tak sampai ke tangga itu.
“Tapi ada kalangan puak kita ini nak buat raja macam tunggul kayu, tak boleh!,” katanya lagi.
Video ucapannya itu dimuatkan di Youtube.
