PAS dakwa dapat laluan dari PKR
PKR Kelantan bersedia memberi laluan kepada PAS untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor, dakwa Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Bagaimanapun, kata Mustafa ( bawah ), keputusan akhir hanya akan dibuat selepas kepimpinan kanan kedua-dua parti membincangkannya.
“Di peringkat negeri, PKR Kelantan sedia beri kerusi itu kepada PAS. Tetapi kita masih perlu bincang di peringkat pusat,” dakwanya.
Bagaimanapun, tidak sampai dua jam selepas kenyataan itu, Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir negeri dilapor tampil menafikan perkara itu.
Sinar Harian melaporkan bahawa PKR Kelantan tetap akan meletakkan calonnya di kerusi peninggalan allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar itu.
“Saya tidak tahu tentang hal itu, buat masa sekarang ini kami (PKR Kelantan) masih lagi menunggu keputusan kepimpinan tertinggi berhubung peletakan calon untuk DUN Pengkalan Kubor,” katanya.

