Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mengakui parti PAS kini sedang menghadapi pergolakan dalaman selepas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan keupayaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor (MB).

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

"Oleh itu, tidak sesuai bagi saya untuk membuat sebarang komen terhadap isu ini kerana saya tidak mahu dilihat sebagai campur tangan dalam hal dalaman PAS," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi.

Abdul Hadi ketika menghadiri sesi dialog di Kuala Terengganu kelmarin menyatakan bahawa keputusan PAS menolak Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bukan kerana jantinanya, tetapi keupayaan beliau untuk menjadi pemimpin yang baik.

Abdul Hadi berkata seorang MB seharusnya memenuhi kriteria tertentu dan berkelayakan untuk memegang jawatan seumpama itu.

Namun Lim berkata DAP tetap percaya dan yakin kemampuan Wan Azizah untuk menggalas tugas MB.

Katanya, Wan Azizah seorang yang berpengalaman dan telah berjaya mengambil alih tugas PKR ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

"Berilah beliau (Wan Azizah) peluang untuk menunjukkan keupayaannya untuk menjadi Menteri Besar," katanya.

Tuntut Umno PP mohon maaf

Sementara itu, Lim berkata Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman harus memohon maaf berhubung dakwaan kerajaan negeri memberi peruntukan RM1.5 bilion kepada Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

"Kalau sudah buat salah, minta maaflah," katanya.

Semalam, Zainal Abidin mengakui kesilapan dalam laporan laman web Umno pada 4 Sept yang mendakwa keseluruhan kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM1.5 bilion untuk menubuhkan PPS.

- Bernama