Kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar bebas, bersama exco PAS yang mentadbir Selangor sekarang masih bersemangat melaksanakan dasar Pakatan Rakyat demi rakyat.

Exco Selangor Sallehen Mukhyi menyatakan beliau serta semua exco PAS yang bekerjasama dengan Khalid masih bersemangat.

"Walaupun dia (Khalid) sudah bebas, pendekatan dia sama sahaja dengan sebelum dia bebas. Saya fikir tak ada perubahan.

“Muktahir bila dia nak lepaskan jawatan makin bersemangat dia di negeri Selangor ini walau hanya tinggal minima empat orang exco sahaja.

“Setiap kali mesyuarat keempat-empat ini mesti ada," kata beliau dalam ucapan perasmian Ijtimak PAS Selangor di Seri Kembangan hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Khalid memecat semua exco PKR dan DAP kerana tidak bersetuju bersama pasukannya mentadbir negeri Selangor.

PAS pula mengambil keputusan mengekalkan semua empat orang exco mereka dan bekerjasama dengan Khalid mengikut undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang memerlukan minima empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sallehen yang juga timbalan pesuruhjaya (1) PAS Selangor turut mengulas tuduhan dari rakan Pakatan Rakyat lain termasuk dari partinya sendiri yang menyatakan keempat-empat exco ini gila kuasa kerana tidak mahu meletakkan jawatan.

Beliau menyatakan tindakan mengikut arahan parti untuk tidak meletak jawatan itu kini terbukti untuk menjaga kerajaan negeri Selangor dan portfolio exco yang dipecat diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SS) Datuk Khusrin Munawir

"Jangan dia tuduh bila serah kepada Datuk SS (Khusrin) kata kita tak ada setiakawan. Gila kuasa. Tidak begitu, cuma exco sekarang kena tanggung beban yang ditinggalkan exco lalu.

"Kami masih teruskan agenda pakatan rakyat. Pesta tanglung umpamanya yang kami buat tempoh hari, dulu di bawah YB Elizabeth, lepas itu saya ambil dan ia tetap berjalan seperti biasa program sebegini,” katanya.