mk-logo
Berita
Sallehen: Boleh lawan presiden, tapi cara baik

Timbalan Pesuruhjaya (1) PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata kepimpinan tertinggi seperti presiden boleh dilawan tetapi perlulah secara baik dan berhemah dan bukannya suka-suka.

Tanpa merujuk kepada sesiapa, Sallehen memberi komen keadaan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang menjadi sasaran kritikan pihak tertentu termasuk daripada dalam PAS sendiri.

Beliau bagaimanapun menegaskan ahli PAS perlu bersabar menurut perancangan kepimpinan sekiranya ia mendatangkan kebaikan.

"Sabarlah jangan gelojoh. Bersabar. Nak kata apa katalah, kesabaran akan jadi kesuburan.

"Kalau presiden dimaki macam mana kita? Kita boleh lawan tapi perlu berakhlak.

"Cuma kita akur arahan parti. Siapa kita kalau tak ikut arahan presiden parti. sekarang baru nampak kebijaksanaan pimpinan kita," kata beliau dalam ucapan perasmian Ijtimak PAS Selangor di Seri Kembangan hari ini.

Keputusan Hadi dalam krisis pentadbiran Selangor mendatangkan pelbagai kritikan dan kontroversi dalam Pakatan Rakyat.

Terbaru, Hadi mengkritik dan mendakwa presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon tunggal PKR dan DAP sebagai menteri besar sebagai tidak sesuai menjadi menteri besar.

Hadi turut sebelum itu menghantar nama tiga ADUN PAS termasuk Sallehen sebagai calon sebelum ditarik semula.

Senarai kedua pula mempunyai dua ADUN PKR dan seorang ADUN PAS.

Beberapa pimpinan PAS dilaporkan terkejut dengan perbuatan yang bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Pusat PAS sebelum ini yang mahukan Wan Azizah sebagai menteri besar.

Sallehen sementara itu menegaskan PAS tidak mahu berlaku pembubaran DUN Selangor yang dianggap beliau sebagai membazir dan tidak mendatangkan makna kepada parti itu dan Pakatan Rakyat.

Menurut beliau ia merupakan antara sebab yang paling utama kesemua empat exco PAS di Selangor tidak meletakkan jawatan untuk menjaga kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

"Selagi tak buat pembubaran, DUN boleh berjalan sehingga November. (Pada) 17 November sesi DUN seterusnya.

"Nak buat pilihan raya bukan sikit belanja. Pilihan raya tak ada maknanya. apa yang berlaku sekarang ini adalah kerja kerajaan tidak terganggu. kita nak tunjuk dalam banyak hal-hal politik, kerja kerajaan tetap berjalan," kata beliau.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS