Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan tiada percanggahan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS mengenai isu calon menteri besar Selangor.

Beliau berkata keputusan untuk tidak menuntut kerusi menteri besar hari ini telah pun dipersetujui semua pihak dalam PAS.

"Kita tak pernah bercanggah,” kata beliau ketika ditemui di Ijtima PAS Selangor di Seri Kembangan, Selangor hari ini.

“Mesyuarat kita bincangkan semua aspek kita berbahas dalam keadaan yang cukup harmoni dan kita bebas lahirkan semua perbezaan dalam pandangan dan akhirnya kita simpulkan dengan keputusan tadi.”

Hari ini, Timbalan Presiden Mohamad Sabu berkata, PAS akan menolak walaupun istana memilih anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka sebagai menteri besar baru Selangor.

Bagaimanapun, dalam sidang media sama, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, PAS akan bersetuju dengan apa sahaja pilihan sultan.

Ditanya mengenai dua jawapan berbeza dalam sidang media itu, Salahuddin tidak memberikan jawapan jelas.

Sebaliknya beliau hanya menegaskan PAS perlu menunaikan "tanggungjawab" tanpa mahu menghuraikan apakah maksud tanggungjawab yang dinyatakan.

Berikut petikan soal jawab antara Salahuddin petang tadi:

Wartawan: Apa komen Tuan mengenai jawapan berbeza yang diberikan oleh Mat (Mohamad) Sabu dan Cikgu Pa (Mustafa) dalam sidang media tadi.

Salahuddin: "Kita jelaskan dulu tentang pendirian kita. Itu line berbeza kita tunaikan dulu tanggungjawab kita. Tentang sultan itu, kita tunggulah titah (baginda)."

Apa komen Tuan mengenai keputusan mesyuarat pagi tadi?

"Kita mempertegaskan dalam mesyuarat pagi tadi bahawa kita tak terima jawatan itu. Dan itu keputusan yang konsisten dari dulu kita kata tak mahu terima jawatan itu.

Bagaimana dengan nama calon PAS yang diketengahkan Haji (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) untuk calon menteri besar?

Kita ulangi apa yang dikatakan presiden, kita hormati konsep raja berpelembaan dalam berikan titahnya. Tapi dari segi keputusan parti kita tetap menolak jawatan itu.

Jadi adakah ahli PAS patut menyokong keputusan presiden PAS?

Keputusan parti memang begitu keputusan parti dah dibuat tadi dan kita konsisten dalam keputusan itu.