Dua gerabak kereta api kargo yang berisi simen tergelincir daripada landasan di KM321.75 berhampiran stesen Kuala Kubu Baharu, Selangor, semalam.

    

Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) SitiBadariah Wan Hanafi berkata kejadian berlaku pada pukul 2.10 petang ketika kereta api 30-gerabak yang membawa muatan simen itu dalam perjalanan dari stor di Kuala Kubu Baharu menuju ke Batu Caves, Selangor.

    

"Akibat kejadian itu, semua perkhidmatan komuter laluan Rawang ke Tanjung Malim akan dihentikan di Stesen Rawang sahaja sehingga Khamis depan (11 September) bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih," katanya dalam kenyataandi sini.

    

Katanya, hanya perkhidmatan komuter laluan tersebut sahaja yang tergendala manakala perkhidmatan KTM Intercity dan ETS berjalan seperti biasa.

    

Menurutnya kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan pada masa ini KTMB sedang menjalankan siasatan punca kejadian.

    

Siti Badariah berkata KTMB akan memaklumkan perkembangan terbaru dari masake semasa dan untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web syarikat itu di www.ktmb.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 1300-88-5862.

    

- Bernama