4 anggota polis ditahan bantu kes samun
Empat anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sekumpulan rakyat asing disamun di Mak Mandin, di Butterworth Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata empat lelaki berumur 20-an dan bertugas di Kulim, Kedah itu ditahan secara berperingkat di Ipoh, Perak dan Kulim sejak kelmarin.
"Sabtu lepas, kami menerima laporan polis daripada beberapa lelaki warga asing yang mendakwa mereka disamun empat lelaki yang mengaku anggota polis.
"Dalam kejadian itu, warga asing itu mendakwa mereka kerugian RM1,000 akibat disamun empat lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, polis mengesan seorang daripada mereka di Ipoh, Perak semalam dan susulan itu polis menahan tiga lagi rakannya di Kulim.
Mazlan berkata empat anggota polis itu direman empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes itu.
- Bernama

