Rahman Dahlan bidas Saifuddin Abdullah
Seorang menteri Umno membidas bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang mencadang Akta Hasutan digantikan dengan draf rang undang-undang Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahalan berkata Saifuddin dan MPKN telah melampaui batas dengan mempublisitikan pandangan mereka itu.
"Saya tidak bersetuju dengan pandangan Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) yang cadangan Akta Keharmonian Nasional untuk menggantikan Akta Hasutan akan dibuat berdasarkan versi MPKN.
"Saya percaya MPKN hanya ditugaskan memberikan imput terhadap undang-undang yang dicadangkan itu, bukannya membuat draf kepada seluruh Akta.
"Pandangan MPKN sepatutnya dipersembahkan kepada kerajaan untuk ditimbang. Sekarang ini Datuk Saifuddin bercakap seolah draf MPKN itu akan menjadi draf akhir. Itu salah," kata beliau dalam beberapa siri tweet semalam.
Abdul Rahman membuat komen itu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan "mengkaji" sama ada mereka patut menarik kembali Akta yang disifatkan sebagai lapuk dan zalim oleh kumpulan hak asasi manusia.
Najib pada 2012 berjanji untuk menarik Akta tersebut, tetapi mendapat tekanan dari kumpulan sayap kanan termasuk menteri kabinetnya, Datuk Ismail Sabri yang percaya keadaan akan menjadi kucar-kacir kalau Akta itu ditarik.
Penyokong Akta Hasutan itu turut menyatakan penarikan Akta tersebut akan memberi ruang kepada semua pihak membuat kenyataan menentang institusi diraja dan kedudukan istimewa Melayu.
Mereka turut menghentam MPKN, yang menyediakan draf rang undang-undang termasuk menjadikannya diskriminasi bangsa satu jenayah.
Rang undang-undang yang dicadangkan itu dimuatnaik ke laman web MPKN untuk maklumbalas awam sebelum diserahkan kepada kerajaan.
Abdul Rahman berkata pendedahan isi rang undang-undang itu kepada umum bakal menimbulkan kekeliruan dan MPKN sepatutnya menyerahkan kepada kabinet untuk dinilai terlebih dahulu.
"Malah saya tidak terfikir MPKN mempunyai mandat untuk bercakap kepada masyarakat awam mengenai cadangan rang undang-undang Keharmonian Nasional mereka," katanya.

