MP Klang, Charles Santiago berkata Tan Sri Khalid Ibrahim tidak patut menandatangani perjanjian industri air di antara Selangor dan kerajaan Persekutuan kerana beliau kini dianggap seorang MB sementara.

Santiago berkata ia akan menimbulkan persoalan tentang keabsahan perjanjian bernilai RM9.5 bilion itu memandangkan semua pihak maklum yang Selangor sekarang berada dalam proses peralihan kepimpinan.

"Sesiapa yang mengikuti perkembangan di Selangor tahu yang Khalid sebenarnya adalah menteri besar sementara.

"Peletakan jawatannya diterima Sultan yang memintanya kekal sehingga penggantinya diputuskan.

"Bagaimanakah seorang MB sementara dengan anggota kabinet kerangka sahaja, boleh menandatangani perjanjian RM9.5 bilion?

 

"Ia akan memberi implikasi kewangan besar dan implikasi lain kepada negeri," kata Santiago dalam kenyataannya.

Tangguh perjanjian

Beliau seterusnya menyeru agar kerajaan Persekutuan tidak tergesa-gesa untuk memuktamadkan perjanjian itu.

"Kepimpinan baru kelak patut diberikan mandat sepenuhnya dalam menandatangani perjanjian penstrukturan air di Selangor itu.

"Mereka tidak seharusnya diletakkan dalam kedudukan yang sukar terutamanya jika perjanjian itu dicabar di mahkamah," katanya.

Santiago seterusnya mencadangkan agar perjanjian itu ditangguhkan dahulu sehingga kepimpinan baru mengambil alih pentadbiran.

Menurutnya, ia selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik dan ketelusan.

Pada masa sama, penangguhan itu juga perlu mengambil kira rundingan yang masih berterusan di antara kerajaan Persekutuan dan operator rawatan air, Splash.

Khalid dilaporkan akan memuktamadkan perjanjian penstrukturan air dalam minggu ini.

Pakatan Rakyat pula masih gagal mengemukakan lebih daripada dua nama calon MB untuk menggantikan Khalid.

DAP dan PKR hanya mengemukakan satu nama, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon jawatan tersebut.