Charles Santiago tak tahu apa-apa, kata MB
Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau akan tetap mematerai perjanjian penuh mengenai pengambilalihan syarikat air di Selangor walau timbul kritikan berhubung kedudukannya sebagai “menteri besar sementara”.
Tegasnya, beliau yakin dengan kelayakannya untuk menandatangani perjanjian tersebut yang menurutnya kini dalam peringkat akhir perbincangan.
Beliau seterusnya mempersoalkan kelayakan MP Klang Charles Santiago yang menurutnya membangkitkan isu tersebut walau “tidak faham” dengan duduk perkara sebenar.
"Santiago) tak faham (kelayakan beliau sebagai MB) serupa juga dia tak faham pasal air beracun di kolam takungan.
"Saya beranggapan seseorang yang profesional sepatutnya tahu fakta sebelum mengatakan sesuatu (jika tidak, ia) tidak memberi sebarang manfaat kepada komuniti dan negara," katanya sinis.
Isu air beracun itu merujuk kepada dakwaan Santiago sebelum ini yang mempersoalkan tahap keselamatan air dari tasik lombong untuk disalurkan kepada pengguna.
Santiago semalam membangkitkan mengenai kelayakan Khalid untuk menandatangani perjanjian penstrukturan air dengan Putrajaya dalam keadaan menteri besar itu akan ditukar dengan pemimpin lain.
Mengulas lanjut, Khalid berkata beliau yakin perjanjian berkenaan akan dapat disempurnakan pada miggu ini.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Selangor pada 2 Ogos lalu menandatangani perjanjian dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor.
Perjanjian pengambilalihan ini bermakna kerajaan negeri akan berkuasa penuh ke atas ketiga-kiga syarikat konsesi yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM 9.65 bilion oleh kerajaan Selangor.
Ketiga-tiga syarikat itu iaitu, Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan Konsortium Abbass Sdn Bhd telah pun bersetuju dengan tawaran yang diterima.
Satu lagi iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) pula menolak tawaran tersebut.
Khalid juga berkata, beliau akan mengulas mengenai pendirian Splash selepas perjanjian tersebut dimaterai.

