Anwar tunggu jawapan istana
Anwar mengambil pendirian itu sewaktu cadangan dibangkitkan pada mesyuarat biro politik semalam - untuk menghantar nama tambahan kepada Sultan.
Malaysiakini turut difahamkan isi kandungan sebenar surat itu hanya diketahui oleh Anwar dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Kandungan surat itu boleh disimpulkan sebagai permohonan maaf yang diterbitkan Anwar semalam dan penjelasan bahawa PKR akan setia mengikut "konvensyen" dan menghantar satu nama sahaja.
Anwar, yang kini sedang menemui pimpinan PKR Selangor turut memohon untuk menghadap sultan.
Sementara itu, Anwar di Twitter beliau menyifatkan laporan itu sebagai "rekaan", tetapi tidak mengulas lanjut.
" Concoction by Mkini (rekaan oleh Malaysiakini)," tulisnya.
Sementara The Star Online pula melaporkan Naib Presiden PKR Tian Chua menafikan parti itu menangguhkan menghantar lebih nama kepada istana.
Bagaimanapun semalam, Saifuddin menyatakan beliau turut tidak tahu menahu mengenai kandungan surat itu.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat malam semalam, beliau berkata:
"Surat telah dihantar hari ini (semalam). Ia ditandatangani presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail). Saya tak tahu apa isinya.
"Dalam mesyuarat semalam, presiden memberitahu surat telah dihantar dan diterima istana," kata beliau kepada media.
Semalam, Anwar dan DAP memohon ampun kepada istana yang mendakwa kedua mereka biadab dan derhaka kerana tidak menghantar lebih dari dua nama sebagai calon menteri besar.
PKR dan DAP hanya mahukan Wan Azizah sebagai menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

