Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najis tikus di guni tepung, makanan depan tandas
Diterbitkan:  Sep 10, 2014 5:31 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengarahkan lima kilang makanan di negeri ini ditutup mulai semalam kerana gagal mematuhi peraturan kesihatan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata antara kesalahan menjijikkan dikesan dalam operasi itu ialah najis tikus dibiar melekat pada guni tepung dan stok makanan mentah dilonggok di hadapan tandas.

"Premis terbabit diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemiliknya harus menjalankan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagi," katanya kepada pemberita di Georgetown.

Beliau berkata premis terlibat ialah kilang kicap, kilang mi, kilang roti, kilang bawang goreng dan kilang kerepek yang beroperasi di sekitar Jelutong, Kepala Batas dan Bukit Mertajam.

Sebanyak 16 premis diperiksa iaitu Daerah Timur Laut (dua), Barat Daya (tiga), Seberang Perai Utara (dua), Seberang Perai Tengah (lima) dan Seberang Perai Selatan (empat).

Ku Nafishah berkata terdapat juga kes pengusaha menggunakan peralatan mengadun dan menggoreng makanan yang berkarat selain dibiar melekit dipercayai tidak dibasuh secara berjadual.

Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan tiga notis saman berjumlah RM5,000 atas kesalahan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 2009 dan akan meneruskan operasi seumpama itu termasuk di kantin-kantin kilang di negeri ini.

Segelintir pengusaha sedar kesalahan mereka namun mengambil mudah perkara seumpama itu dan lebih cenderung mengambil sikap menunggu tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka, katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS