PKR menafikan laporan yang menyebut ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan tindakan lanjut berkenaan jawatan menteri besar Selangor sementara menanti maklum balas istana.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan yang didakwa dibuat biro politiknya itu “sama sekali tidak benar”.

“Tiada perbincangan berkaitan nama-nama calon menteri besar Selangor dalam mesyuarat Biro Politik PKR selain dimaklumkan oleh presiden mengenai surat beliau yang telah dihantar kepada DYMM Sultan Selangor sebagai maklum balas kepada surat DYMM Tuanku yang diterima pada 3 September 2014,” kata Saifuddin.

Dalam kenyataannya hari ini, Saifuddin berkata, laporan itu, yang turut dilaporkan Malaysiakini , disiar tanpa bersandarkan sumber rasmi parti “tindakan yang tidak bertanggungjawab”.

Sebaliknya, katanya lagi, mesyuarat mereka malam tadi berbincang dan mencapai beberapa keputusan berikut:

  • Persiapan PKR membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubur.

 

  • Menggerakkan program penerangan seluruh Selangor untuk menjelaskan kemelut politik yang sedang dihadapi sekarang.
  •  

  • Laporan terkini kes mahkamah yang sedang dihadapi pimpinannya, terutama tuduhan bawah Akta Hasutan dan kes-kes lain membabitkan parti.
  • PKR bagaimanapun menegaskan sentiasa berusaha memberikan kerjasama demi mengekalkan hubungan baik dengan semua media.

    Saifuddin juga berharap media, khususnya Malaysiakini dan The Malaysia Insider , dalam melaporkan isu menteri besar Selangor bersikap lebih profesional dan bertanggungjawab.