Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar wanita UiTM parah ditikam di Melaka
Diterbitkan:  Sep 11, 2014 6:00 AM
Dikemaskini: Sep 11, 2014 7:25 AM

Seorang pelajar wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Alor Gajah cedera parah selepas ditikam sebanyak enam kali oleh seorang lelaki dalam satu rompakan di Pangsapuri Dimensi di Lendu di Alor Gajah, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Abd Rahman Jid berkata ketika kejadian pada jam 5.30 pagi, Siti Irina Ridzwan, 20, pelajar Diploma Komunikasi Massa sedang nyenyak tidur di sebuah bilik di tingkat satu pangsapuri berkenaan manakala empat lagi rakannya berada di dua bilik berasingan.

    

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan kemudian didatangi seorang lelaki berumur 30-an yang bertindak menekan dada wanita tersebut dan memintanya untuk diam.

    

"Mangsa bertindak melawan dan menjerit sebelum suspek menikam mangsa menggunakan pisau sebanyak enam kali di bahagian dada dan tangan," katanya kepada pemberita semalam.

Katanya suspek kemudian melarikan diri dengan terjun dari balkoni bersama dua kunci kereta dan tiga beg duit milik mangsa dan rakannya.

    

Abd Rahman berkata rakan Siti Irina yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi ambulan sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

    

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek memasuki pangsapuri berkenaan melalui pintu di bahagian balkoni yang tidak berkunci.

    

Katanya polis menahan dua lelaki dipercayai rakan suspek yang turut tinggal di blok sama pangsapuri itu pada jam 6.30 pagi tadi bagi membantu siasatan.  

    

Polis turut menjumpai dua kunci kereta jenis Hyundai dan Proton dipercayai hasil rompakan itu selain parang dan kerambit, katanya.

Suspek utama dikenal pasti

Sementara itu, pihak polis telah mengenal pasti suspek utama berhubung kes tersebut.

    

DSP Abd Rahman Jid berkata suspek yang dipercayai bekerja sebagai penarik kereta berusia 30-an dan berasal dari Melaka sedang dikesan.

    

"Lelaki tersebut melarikan diri dengan sebuah kereta selepas kejadian  dan polis percaya suspek masih berada di negeri ini," katanya kepada Bernama.

    

Dalam pada itu, beliau berkata dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun dipercayai rakan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS