mk-logo
Berita
'Letak jawatan, jangan jadi seperti anai-anai'
Diterbitkan:  Sep 11, 2014 5:20 AM
Dikemaskini: 8:21 AM

Pergolakan dalam PAS berkaitan krisis jawatan menteri besar Selangor berterusan apabila seorang ketua Pemuda PAS hari ini membidas Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang didakwanya tidak sehaluan dengan pendirian Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemuda PAS Sekijang, Shazni Munir Ithnin (kanan) mendakwa bahawa umummengetahui bahawa Husam dan rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Pusat PAS tidak bersetuju dengan keputusan Hadi untuk meletakkan lebih daripada satu nama sebagai calon menteri besar Selangor

Oleh itu, beliau menggesa Husam agar tidak berkias-kias dalam membangkang keputusan presiden PAS itu.

"Husam perlu menyatakan protes terhadap keputusan tersebut secara terbuka," kata Shazni yang juga eksekutif komunikas menteri besar Selangor dalam satu kenyataan hari ini.

"Ahli-ahli sudah sedia maklum pendirian presiden, dan tidak kurang yang menyokong," katanya sambil mendakwa hanya Husam dan rakan-rakannya masih berlapik-lapik kononnya ingin menjaga survival politik.

Menurut Shazni, budaya demikian tidak sihat kerana ia ibarat "anai-anai yang makan senyap-senyap".

Katanya, jika Husam merasakan presiden sudah tidak layak memimpin parti, maka beliau seharusnya mengusulkan undi tidak percaya terhadap presiden parti.

Tetapi jika Husam merasakan sokongannya tidak cukup, tegas Shazni LAGI, maka Husam dan rakan-rakannya perlu meletakkan jawatan sebagai isyarat menegakkan pendirian mereka yang dirasakan betul.

Menurutnya, jika Husam masih tetap tidak bersetuju, beliau hanya ada dua pilihan - melakukan usul undi tidak percaya atau meletak jawatan.

"Jika kedua-dua ini pun Husam dan rakan-rakan tidak lakukan, sebaliknya terus bersikap seperti anai-anai yang ‘makan senyap-senyap’, lebih baik beliau bersetuju sahaja dengan presiden parti," tegasnya lagi.

Sementara itu, Husam dalam tulisan terbaru di laman Facebook miliknya petang ini sekadar menukilkan satu puisi berkaitan pesanan seorang "abang".

Bagaimana pun, tidak dapat dipastikan sama ada sajak itu adalah satu maklum balas langsung atau pun tidak kepada kenyataan Shazni.

Di antara rangkap-rangkap sajak itu adalah pesanan berhubung keikhlasan perjuangan dan perpaduan.

Beliau turut memetik satu ayat dari Surah al-Anfaal yang menyeru pada ketaatan pada Allah dan Rasul.

"Janganlah kita berpecah, Janganlah ditempuh jalan perpecahan, Nanti hilang kekuatan kita.

"Selain itu bersifat mukminahlah anda semua, Anda akan memimpin perubahan," katanya dalam tulisan itu.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini