Mahkamah Tinggi di ibunegara hari ini menolak rayuan seorang bapa dan dua anak perempuannya untuk mengetepikan sabitan terhadap pertuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Kemboja tiga tahun lepas.

    

Mahkamah juga menolak rayuan seorang penuntut untuk mengetepikan sabitan terhadap pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.

    

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu terhadap Yeow Kim Bok, 55, dan anaknya Yeow Sheh Yan, 26, dan Yeow Sheh Li, 34, serta Mona Ooi Jia Yi, 23, selepas meneliti rekod rayuan dan hujahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas dan peguam Sharanjeet Kaur Sidhu yang mewakili keempat-empat tertuduh.

    

"Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak tersilap membuat keputusan mengenai sabitan dan hukuman. Oleh itu, rayuan perayu terhadap sabitan ditolak," katanya.

    

Mohd Azman turut membenarkan permohonan Sharanjeet bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dengan mengekalkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Pada 30 Januari 2013, Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Zamzani Mohd Zain memutuskan Yeow, seorang jurujual, dan Sheh Yan, seorang penuntut, dipenjara tiga tahun manakala Sheh Li dipenjara setahun selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

    

Yeow dan Sheh Yan didakwa memperdagangkan Neak Ban, 26, bagi maksud eksploitasi dengan menggunakan kekerasan atau paksaan terhadap wanita itu di sebuah rumah di Taman Sri Sinar Segambut, Sentul di ibunegara pada 1.30 tengah hari, 3 Ogos 2011, mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

    

Sheh Li, ibu tunggal kepada dua anak, didakwa memperdagangkan Neak bagi maksud eksploitasi di tempat dan waktu sama, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

    

Ahmad Zamzani turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 terhadap Yeow yang didakwa mencederakan pembantu rumahnya dengan menumbuk serta menghentak muka wanita itu pada dinding rumah pada 9 pagi 3 Ogos 2011.

    

Sheh Yan turut dikenakan hukuman sama kerana didakwa mencederakan Neak dengan menumbuk dan menampar muka serta menendang belakang badan wanita itu di lokasi sama antara 6 petang pada 2 Ogos dan 9 pagi 3 Ogos 2011.

    

Sheh Yan juga dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan didenda RM3,000 kerana didakwa menghalang Inspektor M. Sathiyaseelan daripada melakukan tugasannya dengan menendang kaki pegawai polis itu di tempat sama pada 1.30 tengah hari 3 Ogos 2011.

    

Sementara itu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga bulan terhadap Mona, yang didakwa menghalang Lans Koperal Noor Diana Nasaruddin daripada menggari tangan rakannya, Sheh Yan pada tempat dan waktu sama.

    

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas Yeow dan Sheh Yan berjalan serentak.

- Bernama