Polis Terengganu menugaskan kira-kira 300 pegawai dan anggota untuk membantu menjaga keselamatan sepanjang proses pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan.

    

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata mereka ditugaskan bermula tempoh berkempen selepas penamaan calon pada 13 Sept ini sehingga hari pengundian pada 25 September.

    

Katanya penugasan anggota dan pegawai itu bagi membantu Polis Kelantan menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kawasan DUN itu bakal menjadi tumpuan masyarakat luar untuk berkempen mewakili parti masing-masing yang bertanding.

    

"Kita berharap dengan kekuatan yang dihantar ini akan dapat membantu menjaga keselamatan sepanjang proses berkempen," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

    

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada Barisan Nasional (BN) akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.

    

Dalam pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

    

Bekas penolong pegawai pendidikan daerah (pengurusan sekolah) Tumpat, Mat Razi Mat Ail, 48, diumumkan sebagai calon BN bagi PRK itu.

- Bernama