Dr M: Tolak DEB menongkah takdir
Walaupun terdapat pihak menidakkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hanya masa yang akan mengadili pemimpin yang memperjuangkannya.
“Namun, saya khuatir bangsa Melayu sendiri akan menongkah takdir dengan menolak dasar tersebut,” katanya dalam pengantar buku #WahaiMelayu tulisan ahli perniagaan Anas Zubedy.
Mahathir mengulas dakwaan bahawa DEB berat sebelah dan hanya memberikan manfaat kepada golongan elit.
Buku kecil itu dijadual dilancarkan Mahathir di Kuala Lumpur petang ini.
Dalam tulisan itu, Mahathir berkata, DEB sebagai dasar afirmatif memperakui keperluan kerajaan yang diterajui Melayu membantu nasib anak bangsa sendiri dan tidak menyerah bulat-bulat kepada takdir.
Ia, tambahnya, atas kesedaran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib Melayu melainkan mereka sendiri yang berusaha mengubahnya.
“Ia juga bukan satu usaha untuk memperkecilkan atau merampas hak bangsa lain. Ia hanyalah usaha membangunkan kaum Melayu agar tidak bergantung pada takdir semata-mata,” katanya.
Tak percaya kesaksamaan terlalu luas
Sementara itu, Anas pula berkata beliau percaya kepada DEB kerana sesuatu perlu dilakukan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin.
“Saya tidak percaya kepada kesaksamaan dalam erti kata yang terlalu luas, saya akan sentiasa mengutamakan golongan miskin. Kita mesti sentiasa membantu mereka,” katanya.

