Majlis mementerai perjanjian induk pengambilan perkhidmatan air antara kerajaan Selangor dengan kerajaan pusat sedang berlangsung di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Shah Alam pagi ini.

Majlis itu bakal menyaksikan syarikat baru bernama Newco Air Selangor Sdn Bhd ditubuhkan bagi menggantikan syarikat-syarikat pemegang perjanjian konsesi air sebelum ini.

Setiausaha Akhbar kepada menteri besar Selangor Arfa'eza Aziz dalam tweet beliau mengesahkan perkara tersebut.

Beliau turut melampirkan gambar menunjukkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau & Air Datuk Seri Maximus Ongkili di pejabat kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Satu kenyataan akhbar bakal dikeluarkan oleh pejabat menteri besar sebentar lagi.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Selangor pada 2 Ogos lalu menandatangani perjanjian dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor.

Perjanjian pengambilalihan ini bermakna kerajaan negeri akan berkuasa penuh ke atas ketiga-kiga syarikat konsesi yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM 9.65 bilion oleh kerajaan Selangor.

Ketiga-tiga syarikat itu iaitu, Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas)dan Konsortium Abbass Sdn Bhd (Abbas) telah pun bersetuju dengan tawaran yang diterima tetapi belum menandatangani perjanjian hitam putih untuk diserahkan di bawah pentadbiran baru.

Satu lagi iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) bakal diambil alih menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA).

[Berita lanjut menyusul]