AMK mahu Pengarah Besar Felda jelaskan lawatan
Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad menjelaskan kelibat beliau bersama seorang lelaki dikehendaki polis antarabangsa.
Beliau merujuk kepada lawatan Faizoull ke kelab bola sepak Scotland Glasgow Rangers bersama Rafat Rizvi, yang dilaporkan akhbar Scotland beberapa hari lalu.
"Menurutnya (Faizoull), tujuan lawatan tersebut adalah untuk melihat potensi untuk menjalankan program pembangunan anak muda bersama Felda United.
"Bagaimanapun, mengapakah beliau perlu melibatkan Rafat, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis dalam urusan ini? Apatah lagi melantik Rafat sebagai penasihat beliau?
"Adakah Faizoull tidak sedar bahawa Rafat telahpun didapati bersalah atas kesalahan penipuan yang bernilai jutaan dollar oleh Mahkamah Jakarta kerana terlibat dalam skandal kejatuhan Bank Century Indonesia?" kata NiK Nazmi dalam kenyataan.
ADUN Seri Setia yang juga timbalan speaker Selangor itu mahu Faizoull menjelaskan lawatan itu kerana nama Felda turut dikaitkan.
"Tindakan Faizoull ini sangat mencurigakan dan menimbulkan pelbagai persoalan.
"Tambahan lagi, terdapat spekulasi bahawa beliau ingin membeli pasukan bola sepak Glasgow Rangers.
"Oleh yang demikian, saya menekankan agar Faizoull memberi penjelasan tentang perkara ini kerana beliau sebagai pengarah besar Felda perlulah bertanggungjawab atas tindakannya," katanya.
Tabloid Scotland, Daily Record sebelum ini menyiarkan gambar Faizoull melawat kelab bola Glasgow Rangers bersama Rafat Rivzi.
Beliau dilaporkan sebagai antara individu yang berminat membeli kelab itu yang berdepan kemerosotan prestasi.

