Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan bertindak tergesa-gesa dalam usaha menggantikan Akta Hasutan.

Katanya, kerajaan juga masih belum memutuskan sama ada akan memansuhkan atau meminda akta tersebut.

Tambahnya, akta baru itu perlu “lebih baik” berbanding Akta Hasutan dan bertindak “mengawal fahaman serta pergerakan radikal, ekstrem atau fanatik selain mengekang pelampau kaum dan agama dalam masyarakat”.

“Kerajaan juga tidak akan tergesa-gesa menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang baru tanpa meneliti semua aspek berkaitan termasuk kepentingan elemen pencegahan.

“Kerajaan tidak akan mengambil langkah atau tindakan yang boleh menyebabkan suasana dalam negara tidak tenteram,” katanya.

Kenyataan itu timbul susulan siasatan dan pendakwaan ke atasn ahli politik, aktivis dan ahli akademik mengikut Akta Hasutan sejak beberapa bulan lalu.

Rundingan diteruskan

Najib pada tahun 2012 berjanji untuk memansuhkan akta tersebut.

Menurut perdana menteri, kerajaan akan meneruskan rundingan dengan pihak berkepentingan, termasuk kumpulan yang mewakili kepentingan orang Melayu.

“Selepas proses rundingan diadakan, barulah kerajaan akan menentukan hala tuju yang akan diambil dengan matlamat mewujudkan keadaan yang lebih baik untuk negara.

Menurutnya, maklum balas yang diterima setakat ini menunjukkan empat sikap berbeza ke atas langkah pemansuhan itu.

Ada yang berhasrat agar Akta Hasutan dikekalkan dengan sedikit pindaan dan ada juga yang mahu ia dimansuhkan sepenuhnya.

Selain itu, ada juga kumpulan yang mahu akta tersebut digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional “demi menjaga perpaduan rakyat dan kestabilan negara".

Golongan keempat pula mahu Akta Hasutan dikekalkan dan pada masa sama dengan penguatkuasaan Akta Keharmonian Nasional.

Katanya lagi, keputusan yang akan dibuat kerajaan akan mengambil kira kedudukan istimewa Islam, raja-raja dan hak orang Melayu.

“Semua peruntukan ini akan dikekalkan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, sebarang penggubalan berhubung Akta Keharmonian Nasional hanya akan dibuat selepas perkara dasar diputuskan.

“Mana-mana deraf rang undang-undang yang disediakan oleh mana-mana pihak selain daripada Jabatan Peguam Negara tidak sahih dan tidak boleh diterima,” katanya lagi.