Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Aziz Mohd Yusof berkata beliau yakin pengundian yang akan berlangsung pada hari Khamis tidak akan menjejaskan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Katanya, SPR menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 25 September, walau ia merupakan hari bekerja di Kelantan.

"Hari mengundi tidak memberi kesan memandangkan 70% dari pengundi di sini tidak bergantung kepada waktu pejabat "

"Kebanyakan mereka di sini nelayan, petani dan buruh. Jadi masa yang dipilih tidak melibatkan waktu pejabat," katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

Beliau juga berpuas hati kerana tidak menerima sebarang laporan kes kekecohan sepanjang proses penamaan calon hari ini, walau dengan kehadiran kira-kira 2,500 orang penyokong.

Bagaimanapun, beliau tetap menasihat parti terbabit untuk memohon permit untuk ceramah sepanjang tempoh kempen 12 hari, bermula hari ini.

"Jika mahu ceramah buat secara terbuka mereka (parti politik) harus memohon permit bagi mengelakkan pertembungan masa dan tempat," katanya lagi kepada pemberita.

Tiga calon yang sah bertanding dalam pilihan raya kecil ini ialah Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS), Mat Razi Mat Ail (BN) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Pilihan raya kecil ini melibatkan sejumlah 24,039 pemilih berdaftar - terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian akan dijalankan di 12 pusat mengundi dengan 45 saluran.