Penganjur program pengucapan jenaka 'Cerita Malam Jumaat' berkata acara tersebut bukanlah satu program ceramah politik tetapi bersifat sebagai persembahan yang mengetengahkan kritikan berhubung isu semasa.

Jurucakapnya, Faisal Mustaffa (kiri) dari Rumah Anak Teater berkata, kontroversi yang timbul sebelum ini hanya berpunca dari persembahan seorang aktivis politik, Hishamuddin Rais.

Menurutnya, persembahannya pada 12 Jun itu antara lainnya membangkitkan mengenai isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ekoran itu, ada sesetengah golongan yang tidak memahami konsep sebenar lawak ini dan menganggapnya sebagai ceramah politik, jelas Faisal ketika dihubungi Malaysiakini .

“Bagi kami, kami cuba jauhkan isu sensitif seperti MH370 dan individu yang telah mati. Selain itu, kami memberi segala kebebasan pada (persembahan) komik kami.

“Berbeza dengan program lawak biasa, ialah mereka tidak melakonkan watak orang lain.

"Mereka menjadi diri sendiri tanpa ada pengarah dan skrip,” jelasnya yang menambah para pelawak tersebut mengolah isu politik, sosial dan isu semasa secara satira.

Para pelawak muda itu ditampilkan di pentas PJ Live Arts, Petaling Jaya dalam program yang bermula pada Mei lalu.

Antara pelawak yang mencuri tumpuan ialah Filzah Azmi, JD Raja Lawak, Rayza Mukmin, Benjy, Isey Fazlisham, Teruna Wangi, Botak, ‘Hari Macha’ Keshwaran, dan Jonathan Atherton.

Pementasan seterusnya 'Cerita Malam Jumaat' anjuran Rumah Anak Teater itu pada 25 September.

'Air mandi Rosmah'

Sementara itu Hishamuddin (atas) ketika dihubungi menjelaskan, jenakanya itu merujuk kepada perbahasan yang timbul pada tahun lalu mengenai kos menyelenggara Seri Perdana - kediaman rasmi perdana menteri dan isteri.

Ia berpunca dari laporan bahawa rakyat menanggung kos lebih RM2.2 juta untuk membiaya bil elektrik Seri Perdana pada 2012.

Para MP pada masa itu turut mempersoalkan mengenai bil air Seri Perdana, yang kemudiannya didapati berjumlah RM311,174 untuk tahun sama.

“Air itu yang digunakan oleh Rosmah Mansor untuk mandi di Putrajaya,” kata Hishamuddin kepada Malaysiakini .

Najib dalam penjelasan berhubung isu tersebut antara lainnya membangkitkan bahawa rumah agam di Putrajaya itu turut menjadi tempat untuk meraikan tetamu negara dan orang kenamaan.

Kerajaan turut menjelaskan bahawa bil elektrik RM2.2 juta itu bukan hanya melibatkan kediaman PM tetapi turut meliputi keseluruhan kompleks Seri Perdana.


NADIA OTHMAN adalah wartawan pelatih Malaysiakini. Laporan tambahan oleh SALHAN K AHMAD.