Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M pertahan kenyataan Melayu 'pemalas'
Diterbitkan:  Sep 14, 2014 12:49 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Walaupun berdepan pelbagai kritikan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kenyataan beliau bahawa Melayu adalah "pemalas".

"Saya tidak pernah hendak tipu diri. Kalau malas, saya kata malas. Kalau orang tidak suka, tidak sukalah.

"Sepanjang saya jadi Presiden Umno, saya berleter sepanjang masa," kata beliau dalam temuramah eksklusif dengan Mingguan Malaysia hari ini.

Dalam temubual itu, Mahathir bercakap panjang lebar mengenai kepentingan membaca dan bekerja dengan rajin.

Apabila ditanya adakah orang Melayu masih belum rajin, beliau menunjukkan contoh di institut pengajian tinggi tempatan.

"Belum rajin. Umpamanya tidak rajin belajar. Kalau kita pergi universiti, 70 peratus perempuan. Budak-budak jantan (lelaki), apa dia buat? Jadi mat rempit.

"Itu saya kata tidak rajin. Bila pergi universiti pula, tidak belajar betul-betul. Tidak baca buku, baca setakat disuruh sahaja," kata beliau.

Beliau menambah orang Melayu perlu bekerja lebih keras untuk bersaing dengan bangsa lain.

Mahathir sekali lagi menceritakan insiden di sebuah francais roti miliknya yang didakwa membuktikan kekurangan integriti orang Melayu.

"Sekarang ini saya ada kedai roti. Saya hendak kata terus terang, saya amat malu kerana di antara pekerja Melayu, Cina atau Myanmar atau mana-mana, pekerja Melayu kadang-kadang kalau tengok duit, dia lupa, dia tak jujur. Dia nampak duit, kalau boleh sapu, dia sapu.

"Saya kena buang banyak orang Melayu kerana sikap ini. Orang Cina tidak begini. Kita orang Islam. Kita tahu apa makna amanah, apa makna ikhlas. Kalau kita janji buat kerja betul, kita kena buat," kata beliau.

Selasa lalu, Mahathir menyindir orang Melayu, dengan memanggil mereka sebagai "malas" dan menyatakan beliau gagal mengubah mereka walaupun cuba berbuat demikian selama dua dekad.

Tokoh yang menerajui negara selama 22 tahun itu juga mengetengahkan budaya orang Jepun yang malu jika gagal.

Lihat Komen
ADS