Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu, satu persetujuan telah dicapai antara Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk membahagikan wang ehsan negeri itu secara 50-50.

Menurutnya, persetujuan untuk membahagikan wang akan bermula pada Januari tahun hadapan.

"Isu royalti ini, wang ehsan ini, ada perbincangan antara Pusat dan negeri dan sudah ada persetujuan. Kita mula tahun depan. Setelah berbincang dan dapat cadangan daripada majlis agama Islam, kerajaan pusat setuju wang ehsan akan dibahagi 50-50 antara JPP dan MAIK.

"Jadi tak ada niat kita untuk dera sesiapa. Fitnah yang besar dilemparkan kepada kita. Satu perkara yang amat mendukacitakan kita. Kita ambil pendekatan terbuka dengan wujudkan kerjasama yang erat.

"Sudah mesyuarat di Kementerian Kewangan. Cuma tak ada tanda tangan. Ia akan bermula tahun depan. Kabinet dah dimaklumkan. Secara dasar antara MAIK dan JPP akan bermula pada bulan Januari tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Operasi BN, Pengkalan Kubor, Kelantan.

Selain itu, mengulas mengenai tindakan Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R) yang mengadakan perhimpunan dan merotan replika patungnya pada tahun lalu, Mustapha berkata tindakan tersebut tidak melambangkan ciri-ciri keislaman.

Beliau sebaliknya menasihatkan kepada gabungan tersebut supaya mengambil pendekatan bermesyuarat sekiranya terdapat permasalahan yang timbul antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Ada masalah kita mesyuarat, kita akan adakan perbincangan. Kalau kita parti Islam, apa dosa saya nak dirotan. Ini diketahui umum. Ini bukan cara Islam. Cara Islam berbincang, bermusyawarah. Dan saya terbuka. Saya banyak kali berjumpa pemimpin kerajaan negeri dan banyak isu dapat diselesaikan.

"Kumpulan R umpamanya masih lagi berkeliaran merata-rata. Masih nak rotan saya. Ini bukan cara Islam," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS