dikemaskini Tindakan Datuk Seri Najib Razak memansuhkan ISA menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin Umno masa kini dan lampau.

Di antaranya adalah bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad dan penyokong kuatnya, bekas menteri penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Dalam tulisan terbaru di blognya hari ini, Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam membangkitkan perkara itu dengan mengaitkan bapa saudara Najib dan bekas PM ketiga, Tun Hussein Onn ( kanan ).

Beliau tertanya-tanya jika "kesilapan" Hussein mendorong Najib menghapuskan akta itu.

Dakwanya, Hussein Onn terpengaruh dengan bekas PM Singapura, Lee Kuan Yew yang meyakinkan Hussein untuk menangkap "anasir komunis Melayu".

"Dalam menghapuskan ISA, Najib bimbang penerusannya akan menyebabkan berlakunya lagi penyalahgunaan kuasa atau ketidakadilan.

"Beliau tidak mahu menanggung dosa. Apakah kesilapan Hussein Onn menjadi dorongan besar kepada tindakan popularnya menghapuskan ISA?

"Polis yang sentiasa mengikuti perintah tidak boleh disalahkan dalam penyalahgunaan ISA kerana puncanya adalah kepimpinan politik yang tidak bijak dan tidak berwibawa," tulisnya.

Bekas ketua pengarang Utusan itu menganggap tindakan Najib menghapuskan ISA bertujuan "membasuh kesilapan besar bapa saudaranya itu".

Namun, Zam berkata Najib tidak sepatutnya memansuhkan akta tersebut pada masa ini kerana ISA banyak gunanya kepada negara.

"Lebih buruk lagi hal ini dilakukan ketika negara berada dalam keadaan tidak stabil daripada segi perpaduan dan keselamatan dan bangsanya sendiri sedang dalam kelemasan.

"ISA lebih banyak jasanya dari aspek negatifnya," tulisnya lagi.