Kempen pilihan raya kecil Pengkalan Kubor memberi tuah kepada para peniaga yang mengambil kesempatan menjual barangan cenderamata parti seperti baju-T, mafela dan pelekat kenderaan di kawasan DUN ini.

Ada di antaranya sanggup menempuh perjalanan dari Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Perlis semata-mata untuk meraih keuntungan dari kempen pilihan raya ini.

Kebanyakannya menjual cenderamata parti PAS dan tidak banyak yang menjual bahan-bahan parti BN.

Haslan Rasid peniaga dari Cheras , Kuala Lumpur berkata beliau mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari dari jualan baju-T dan pelekat kenderaan.

"Saya sudah berniaga selama enam tahun dan setiap kali ada pilihan raya saya tidak akan melepaskan peluang untuk berniaga kerana di sini adalah lubuk duit"

"Masyarakat di Pengkalan Kubor ini memberikan tapak jualan dengan harga yang murah dan rata-rata teman yang berniaga di sini bukan dari Kelantan," katanya yang ditemui di Kampung Geting.

Kawasan tersebut menjadi tumpuan kerana hampir dengan markas besar PAS untuk kempen pilihan raya kecil ini.

 

Peniaga berusia 40 tahun ini juga berkata,beliau tidak menghadapi banyak persaingan kali ini kerana ramai peniaga lebih tertumpi di Muktamar PAS yang sedang berlansung di Johor.

Jumlah peniaga itu dijangka akan bertambah menjelang hari terakhir kempen dan hari pilihan raya, 25 September.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Zawawi Hasan, dari Puchong berkata beliau menyewa ruang niaga tersebut dengan harga yang murah di hadapan rumah seorang penduduk tempatan.

 

Peniaga yang berusia 50 tahun ini menambah, beliau membuka gerainya di Geting, Pengkalan Kubor sejak sebelum hari penamaan calon.

"Perniagaannya mendapat sambutan yang hangat dari pengunjung walau kempen pilihan raya baru saja bermula"

"Buat masa sekarang perniagaan saya berjalan dengan amat baik dan saya menjangkakan ia akan lebih mendatangkan keuntungan selepas muktamar berkahir kerana semua akan tertumpu di sini," katanya.