Azmin mahu teliti perjanjian Khalid
Menteri Besar Selangor yang baru Azmin Ali berkata beliau akan mengkaji semula perjanjian pengambilalihan industri air serta perjanjian lain yang dibuat semasa pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum membuat apa-apa keputusan.
Azmin menegaskan bahawa beliau akan menyemak semula perjanjian berkenaan, yang dipertikaikan keabsahannya oleh para pemimpin Pakatan Rakyat dan pengamal undang-undang sebelum ini.
"Saya tidak didedahkan dengan butir-butir perjanjian itu jadi saya akan mengadakan mesyuarat dengan mereka yang relevan serta ketua-ketua jabatan yang diketuai oleh Datuk Khusrin Munawi (Setiausaha Kerajaan Negeri) untuk menyemak semua perjanjian, bukan saja air.
"Beri saya masa untuk semak," kata beliau dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar di Istana Alam Shah hari ini.
Khalid menandatangani perjanjian induk pengambilalihan syarikat bekalan air bersama kerajaan persekutuan sebelum peletakan jawatan bulan lalu.
Azmin ketika ditanya pemberita berkata beliau akan mengutamakan untuk meneruskan pembangunan dan mengurangkan kadar jenayah yang serius di negeri itu.
Pentadbirannya itu juga akan melaksanakan konsep negeri pembangunan dan berlandaskan amalan tatakelola yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban, katanya.
Teruskan dasar yang untungkan rakyat
Tambahnya, beliau juga akan berusaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan dan menjamin pengagihan kekayaan negeri secara adil kepada seluruh rakyat negeri Selangor.
"Saya akan mengadakan perbincangan awal dengan setiausaha kerajaan negeri pagi esok dan kita akan lihat perkara yang perlu diberikan perhatian tetapi yang pasti kita mahu memastikan pembangunan di Selangor diteruskan dalam beberapa tahun akan datang.
"Kita juga mahu memastikan kadar jenayah dikurangkan di Selangor. Saya telahpun berjumpa ketua polis negeri dan bercakap mengenai langkah yang perlu diambil untuk itu," kata beliau.
Beliau turut berkata pentadbiran Khalid sebelum ini telah memberikan asas yang baik dan beliau akan memastikan kesinambungan dasar yang menguntungkan rakyat.
Azmin bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus program yang akan diteruskan.
"Sudah tentulah tanggungjawab saya untuk meneruskan dasar demi rakyat yang memberikan penekanan kepada soal pentadbiran yang adil dan memastikan kerajaan negeri ini benar-benar bersih dan bertanggungjawab menjaga rakyat negeri Selangor," katanya.

