Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suasana hambar di peringkat awal kempen kini semakin meriah ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor memasuki hari-hari terakhir sebelum pengundian Khamis ini.

Ia dijangka bertambah rancak apabila Muktamar PAS Ke-60 melabuhkan tirai semalam beberapa hari lalu, yang sekali gus memberi peluang kepada pemimpin parti itu untuk menumpukan pada kempen.

Kehadiran pemimpin utama PAS ke kempen ini dijangka akan memberi lebih banyak saingan kepada BN, yang dilihat lebih ke hadapan dalam kegiatan kempen di Pengkalan Kubor.

Setakat ini, hanya kehadiran mursyidul am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang banyak menarik tumpuan pada kempen PAS melalui program ceramahnya.

Walaupun uzur sehingga tidak dapat mengikuti muktamar di Johor, bekas menteri besar itu tetap setia berkempen bersama calonnya, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Nik Abul Aziz juga menggagahkan diri untuk berceramah di Kampung Geting pada Jumaat malam, yang menarik kehadiran hampir 1,000 orang.

Jumlah kehadiran itu dilihat lebih besar berbanding di kebanyakan program BN.

Parti itu giat menganjurkan pelbagai acara termasuk hiburan hampir saban hari di Pengkalan Kubor.

Antara yang kerap turun padang ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga pengarah jentera BN.

Kempen kem BN yang aktif itu turut dibantu dengan kelengkapan van bergerak untuk mempromosi calonnya, Mat Razi Mat Ail.

Kempen BN itu antara lainnya menumpukan persembahan dikir barat, ceramah dan program “sembang santai” yang mengkhususkan golongan pengundi muda.

Pemerhatian sepanjang minggu pertama kempen menunjukkan bahawa isu tuntutan bayaran royalti minyak oleh negeri Kelantan muncul sebagai isu utama yang diketengahkan PAS dan BN dalam meraih sokongan pengundi.

Ia dapat dilihat melalui poster-poster baru berhubung isu tersebut yang mula dipasang sejak semalam di lokasi utama di Pengkalan Kubor.

Keghairahan ke atas isu bayaran royalti ini turut dikesan melalui kehadiran NGO 'ROYALTI' yang giat membantu calon PAS dengan kempennya.

Tumpuan pada isu pembangunan, hasil petroleum dan tanggungjawab kerajaan persekutuan itu sendiri digariskan oleh Nik Abdul Aziz dalam ceramahnya sebelum ini.

Ucapannya di Pantai Geting itu membidas dakwaan Mustapha bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah mengabaikan Kelantan.

"Kita ini negeri Persekutuan. Mahu tak mahu Pusat kena jaga Kelantan. Dia kena jaga. Kenapa nak cakap (tak abai Kelantan) sedangkan memang kewajipan dia begitu.

"Macam cakap kena jaga bini (isteri). Nak cakap apa, itu memang bini kamu," katanya kepada kira-kira 700 orang di Pantai Geting.

Sementara itu, calon PAS, Wan Rosdi dilihat konsisten dengan strategi yang diumumkan sebelum ini dengan menumpukan pada kempen setempat dengan berkempen dari warung ke warung dan dari rumah ke rumah penduduk setempat.

Selain itu, kelibatnya juga lebih mudah ditemui pada ceramah kelompok PAS yang diadakan hampir setiap malam.

Pengaruh calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary pula hanya dapat dikesan melalui poster dengan logo pen di beberapa kawasan sekitar Pengkalan Kubor.

Pilihan raya kecil Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Dalam pilihan raya kecil 2013, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim dari PKR dan Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Lihat Komen
ADS