Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Gooi Hsiao Leung menggea menteri besar Selangor yang baru, Azmin Ali, mengambil langkah segera bagi memastikan krisis berhubung pelantikan jawatan tersebut tidak berulang.

Situasi berkenaan boleh dielak, kata MP Alor Setar itu yang menggesa Azmin menjalankan “reformasi perlembagaan” bagi mengatasi isu tersebut.

Beliau mencadangkan agar undang-undang tubuh negeri Selangor mentakrifkan peranan raja berperlembagaan untuk mengelakkan "kekeliruan" yang berlaku sebelum ini berulang lagi.

"Penjelasan yang dikemukakan oleh setiausaha sulit Sultan tentang sebab Azmin Ali dipilih dan bukannya (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) langsung tiada kena mengena.

"Ia sebenarnya menyimpang daripada pertimbangan dan prinsip yang paling asas dalam perlembagaan – iaitu menteri besar yang akan dilantik, mesti menikmati sokongan majoriti," kata Gooi dalam kenyataan.

 

"Tambahan pula, cara Istana yang secara salah dinasihatkan dalam menilai calon MB yang berpotensi juga mewujudkan kekeliruan ramai tentang peranan raja berperlembagaan yang diamalkan dalam sistem parlimen Westminster," katanya lagi.

Menurut Gooi, soalan utama yang berbangkit dari krisis ini adalah sama ada menteri besar dilantik oleh Sultan atau oleh parti yang dipilih rakyat.

"Saya menggesa kepimpinan Pakatan Rakyat, terutamanya Azmin Ali, untuk menggunakan peranan baru beliau sebagai menteri besar Selangor untuk memulakan reformasi perlembagaan serta-merta untuk mengelakkan krisis lain di masa depan," katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menggunakan budi bicaranya apabila melantik Azmin sebagai MB Selangor.

Pelantikan itu dibuat walaupun Wan Azizah menegaskan bahawa beliau mempunyai majoriti sokongan 30 daripada 56 orang wakil rakyat di Selangor.