Penyokong BN, PAS ceriakan hari pengundian
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor dilihat sebagai antara pilihan raya kecil yang paling tenang berbanding yang lain.
Walaupun SPR menerima tiga laporan berhubung kesalahan semasa tempoh berkempen, namun tiada kekecohan atau pergaduhan yang berlaku sepanjang PRK ini setakat ini.
Malah, suasana pada hari mengundi hari ini juga meriah di semua 11 pusat mengundi yang dipenuhi oleh penyokong parti.
Tinjauan Malaysiakini di beberapa pusat pungundian mendapati penyokong BN dan PAS berhimpun dan menceriakan lagi kawasan pusat mengundi itu mula berkumpul seawal jam 7.30 pagi lagi.
Walaupun mereka menjarakkan diri sejauh 50 meter daripada pusat mengundi, namun ia tidak menghalang mereka terus bersorak dan merayu undi bagi parti masing-masing.
Penyokong yang duduk di tepi jalan raya juga saling bersorak bagi meraih perhatian pengundi. Mereka turut mengenakan baju berwarna biru dan hijau bagi mewakili parti masing-masing.
Suasana bertambah meriah apabila mereka membawa sepanduk dan menggunakan payung parti masing-masing.
Antara sorakan yang dilaungkan ialah "sokong bulan" bagi penyokong PAS dan dibalas dengan "gelombang merah" oleh penyokong BN.
Di samping itu juga, terdapat juga penyokong PAS berselawat beramai-ramai khususnya di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong - tempat calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim mengundi pagi tadi.
Bagi penyokong BN pula, mereka membawa plakad yang bertulis "Ambo sokong calon BN", "GST- Guna Supit Tadah" dan "PAS guna agama untuk kuasa" termasuk di Sekolah Kebangsaan Pengkalan kubor dan Sekolah Kebangsaan Bunohan.
Manakala penyokong PAS pula membawa sepanduk yang bertulis "We Love PAS", "Jom Pakoh Bule" dan "We love Tok Guru" bagi meraih undi khususnya di Sekolah Kebangsaan Geting dan Sekolah Kebangsaan Simpangan.
Keadaan di pusat mengundi juga terkawal apabila kira-kira 30 orang anggota polis berkawal di setiap pusat pengundian.
Bagaimanapun, keadaan lalu lintas di semua kawasan yang menuju ke pusat mengundi sesak. Ini berikutan pemandu serta penunggang motor berhenti untuk melihat ragam penyokong yang bersorak.
Selain itu, menurut SPR, setakat jam 12 tengah hari sebanyak 54 peratus (12,945) yang telah keluar mengundi.
Sepanjang tempoh berkempen, poster dan kain rentang mengenai isu royalti minyak Kelantan serta masalah dalaman PAS turut dijadikan sebagai modal berkempen dalam pilihan raya kecil itu.
Poster mengenai isu wang ehsan, kandungan ucapan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din dan bekas exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa, turut dibangkitkan.

