Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kesahihan tuduhan menghasut yang dikemukakan ke atas peguamnya, N Surendran di mahkmah.

Tegas Anwar, Surendran hanya mengulangi kenyataan beliau yang sebelum ini dibacakan dari kandang tertuduh dalam perbicaraan Liwat II.

"Kenyataan-kenyataan peguam saya untuk membela saya kini dijadikan asas pendakwaan jenayah terhadap beliau. Ini satu penganiayaan.

"Ia jelas dilakukan untuk menakut-nakutkan pasukan pembelaan saya dan menghalang mereka daripada melakukan tugas profesional.

"Ia juga mencabul hak saya di bawah perlembagaan untuk mendapat khidmat guaman yang baik," kata Anwar dalam kenyataannya.

"Rayuan saya akan terjejas dan akan bersifat tidak adil dari saat ia dimulakan," tambahnya lagi.

Menurut Anwar lagi, ia menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan yang sama dengan mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata, Mahathir menggunakan semua sumber negara untuk membolehkan beliau didakwa dengan tuduhan Liwat I sehingga disabitkan dengan kesalahan yang tidak dilakukannya.

"Najib Razak melakukan perkara yang sama seperti mentornya, iaitu dengan mengerahkan keseluruhan jentera termasuk media, polis, peguam negara dan badan kehakiman untuk memastikan keadilan tidak ditegakkan dan saya dibuang dari persada politik tanah air," katanya.

Surendran kini didakwa dengan dua tuduhan menghasut.

Tuduhan pertama adalah mengeluarkan kenyataan pada bulan April lalu mendakwa tuduhan Liwat 2 terhadap Anwar adalah palsu.

Tuduhan kedua pula berkaitan satu rakaman video Youtube yang menunjukkan beliau menyalahkan Najib di atas tuduhan terhadap Anwar.

Rayuan kes Anwar akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober.