Najib: M'sia tidak pilih antara China dan AS
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia tidak membuat pilihan antara Amerika Syarikat dan China untuk membangunkan hubungannya dengan kedua-dua kuasa besar itu.
Perdana menteri berkata Malaysia membina hubungan, dan bukannya memilih untuk menjalin hubungan dengan negara-negara lain.
Malaysia mempunyai prinsip sendiri apabila menyuarakan pandangannya dalam arena antarabangsa, kata Najib pada majlis jamuan malam anjurannya untuk diaspora Malaysia, di sebuah hotel di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia).
"Kita mempunyai prinsip sendiri. Apa yang betul, kita akan kata betul. Apa yang salah, kita akan kata salah," katanya.
Hasil hubungan baik Malaysia dengan negara-negara lain, beliau berkata 26 negara bersedia membantu Malaysia mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac, tanpa meminta ganjaran.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika merentasi Laut China Selatan. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Sehingga kini pesawat itu masih belum ditemui walaupun pencarian menyeluruh digerakkan di selatan Lautan Hindi.
Najib turut memberi contoh hubungan baik yang dinikmati Malaysia dengan Amerika dan China.
Menyentuh lawatan presiden Amerika ke Malaysia, Najib berkata 48 tahun yang lepas, Presiden Amerika (Lyndon B. Johnson) melawat Malaysia yang ketika itu masih dalam era televisyen hitam putih.
Mengenang kembali lawatan Barack Obama pada April lepas, Najib berkata presiden Amerika itu meluangkan masa tiga hari dua malam di Malaysia – semua kerana hubungan dua hala yang serius antara kedua-dua negara.
Najib berkata Presiden China Xi Jinping menganjurkan makan malam peribadi untuk beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, semasa mereka melawat Beijing Mei lepas sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan Malaysia-China.
Perdana menteri juga berkongsi pengalaman berurusan dengan pemberontak untuk mendapatkan mayat penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai.
Beliau perlu berurusan dengan ketua pemisah yang mengawal kawasan lokasi nahas untuk tiga rundingan penting berhubung mendapatkan mayat mangsa, pemilikan kotak hitam dan akses ke tapak nahas oleh penyiasat bebas antarabangsa.
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.
"Saya menguruskan keseluruhan operasi sendiri. Risiko melakukan kesilapan akan memberi kesan kepada nyawa mereka yang menjalankan tugas di sana.
Kadang-kadang terasa sunyi menjadi perdana menteri kerana tidak tahu apakah hasilnya," katanya.
- Bernama

