'Akta Hasutan tak lalu parlimen, tak sah'
Akta Hasutan 1948 bukan undang-undang yang diluluskan parlimen dan oleh itu bercanggah dengan perlembagaan, kata peguam kepada pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Peguam utama Gobind Singh Deo ( kiri ) berkata, undang-undang yang wujud di era penjajahan British itu mengekang kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berhujah, Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan hanya parlimen mempunyai kuasa untuk mengenakan sekatan terhadap hak-hak itu.
“Azmi Sharom dituduh bawah Akta Hasutan, yang merupakan hasil daripada Law Reform Commission, jadi kita harus putuskan sama ada hasil yang tidak diluluskan parlimen mengikut perlembagaan,” katanya.
Menolak hujah itu, Timbalan Pendakwaraya Suhaimi Ibrahim berkata, Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa undang-undang sebelum merdeka kekal sehingga dimansuhkan dan akan kekal pada dan selepas Hari Merdeka.

