Penduduk risau insinerator dekat stesen minyak
Penduduk sekitar tapak insinerator yang dicadangkan di Kepong, Kuala Lumpur bimbang terhadap keselamatan mereka pada masa akan datang.
Ini ekoran kedudukannya yang dikatakan terletak antara bekas tapak pelupusan sampah yang mengeluarkan gas metana dan stesen minyak di Taman Beringin.
Kawasan sekitarnya pula kawasan kediaman yang padat penduduk.
Perkumpulan penduduk Kepong Tak Nak Incinerator (KTI) berkata, walaupun insinerator itu dirancang dibina di Kepong, kawasan terjejas oleh gas tercemar akan tersebar lebih jauh, sehinggalah di kejiranan berdekatan termasuk Selayang dan Batu.
Aktivis KTI Lee Chiun Min berkata, walaupun penduduk selama ini bersabar dengan bau busuk daripada stesen pemindahan sampah tetapi ia tidak mewajarkan pembinaan insinerator itu.
“Adakah ia mewajarkan kamu menghilangkan bau itu, tetapi menggantikannya dengan insinerator 1,000 tan yang akan memuntahkan dioksin dan selain itu, terletak antara stesen minyak dan pusat pelupusan yang mengeluarkan metana?
“Selepas pembakaran, jika abunya tidak dilupuskan dengan baik, ia akan mencemarkan kawasan ini juga,” katanya.
Projek itu sebelum ini dipertahankan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas alasan ia satu-satunya penyelesaian untuk berdepan masalah longgokan sampah di Lembah Klang.

