'Kemenangan jadi asas mantapkan jentera BN'
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemenangan BN dalamn pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor adalah cemerlang dan menunjukkan rakyat menerima dasar-dasar kerajaan.
Perdana menteri berkata BN berupaya meningkatkan majoritinya hampir 900 undi.
Ia juga menunjukkan usaha jentera BN berjalan lancar dan keputusan memilih calon nampak serasi dengan pengundi tempatan, katanya kepada media Malaysia di New York.
Mengenai calon BN Mat Razi Mat Ail, Najib berkata: “Calon tak ada masalah, tak ada masalah peribadi, bersih, ada watak agama, tidak menonjol dan merendah diri”.
Najib berkata kemenangan itu akan dijadikan asas untuk memantapkan lagi jentera Umno dan BN.
Katanya, beliau sudah menghubungi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Mat Razi bagi menyampaikan ucapan penghargaan kepada mereka dan jentera pilihan raya parti.
Najib berkata beliau akan bertemu dengan Mat Razi sekembalinya ke tanah air kelak.
Perdana menteri berada di negara ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta lawatan kerja bermula 20 hingga 28 September.
Sementara itu, timbalan perdana menteri ketika mengulas kemenangan itu berkata, antara faktor kemenangan ialah keberkesanan jentera pilihan raya BN selain latar belakang calon yang baik.
Beliau berkata kemenangan itu juga agak mengejutkan kerana BN memperoleh majoriti undi yang lebih besar berbanding pada PRU13.
"Kemenangan BN ini sesuatu yang luar biasa dan antara faktornya adalah keberkesanan jentera BN, latar belakang calon yang baik dan isu-isu sepertiroyalti minyak yang berjaya ditangkis dengan baik.
"Antara lain kerana masalah dalaman Pakatan Rakyat yang menyebabkan ada antara pengundi yang bosan dan tidak mahu memilih mereka," katanya Muhyiddin.
Mat Razi yang begitu gembira dengan kemenangan tersebut, berikrar akan melaksanakan tugas sebaik mungkin untuk membalas jasa pengundi di kawasan itu yang memberi kepercayaan kepadanya.
Beliau yang turut bersyukur di atas kemenangan itu, berjanji untuk meneruskan kecemerlangan khidmat bakti yang pernah ditabur Allahyarham Datuk Noor Zahidi.
Sementara itu, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan kejayaan calon BN itu sebagai hadiah hari lahir terbaik dalam hidupnya.
Menyambut ulang tahun ke-64 semalam, Mustapa berkata ia dicapai hasil gerak kerja dan perpaduan yang ditunjukkan anggota BN di pelbagai peringkat yang bertungkus lumus berusaha mengekalkan kerusi itu buat BN.
"Jentera Pemuda, Wanita dan Puteri banyak membantu dalam pilihan raya kecil (PRK) ini dan keputusan malam ini adalah luar biasa.
"Saya terharu dengan sokongan dan sudah pastinya saya sangat gembira dengan kemenangan calon BN yang kita pertaruhkan," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK itu malam tadi.
Menurut Mustapa, kemenangan BN di Pengkalan Kubor akan menjadi perintis 'Gelombang Merah' untuk terus meraih kemenangan kawasan lain yang dikuasai PAS di Kelantan.
"Kemenangan ini akan menjadi momentum buat BN dan sudah pasti kita akan terus bekerja keras agar gelombang ini akan menjadi lebih besar," katanya.
Dalam PRK itu, Mat Razi memperoleh 9,981 undi dan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim mendapat 7,326 undi manakala calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary hanya menerima 38 undi.
BN menang dengan majoriti 2,635 undi berbanding kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu (PRU13) iaitu 1,736 undi.
- Bernama

