Seorang lelaki warga Pakistan yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut manakala rakan senegaranya cedera apabila kenderaan dipandunya terbabas ke dalam gaung sebelum terbakar di Kilometer 40 Jalan Tapah-Cameron Highlands dekat Tapah di Ipoh semalam.

    

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata pemandu MPV itu, Aamir Zulfiqar, 26, maut di tempat kejadian manakala rakannya Ali Hassan, 19, cedera di bahagian kaki dan tangan.

    

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, kenderaan jenis Naza Citra yang dipandu mangsa dalam perjalanan ke Tapah terbabas ke dalam gaung semasa mengelak daripada dilanggar sebuah lori yang memasuki laluan bertentangan di satu selekoh.

    

"Sebelum kereta itu terbakar, pemandu tersebut pengsan sementara rakannya sempat keluar dari kereta untuk meminta bantuan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    

Katanya mangsa mati akibat terbakar seluruh badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Sementara itu, di Kedah, dua pembantu perubatan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di kilometer 59.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah ke utara, di Pendang awal hari ini.

    

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa Muhamad Aslam Mat Yazid, 22, dari Kampung Banggol Setol, Pasir Mas, Kelantan dan Yusniza Mohammad Yusoff, 23, dari Kampung Gaung Tendong, Pasir Mas, Kelantan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian badan.

    

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Abd Aziz Ahmad berkata pemandu kereta jenis Toyota Vios itu iaitu Muhamad Aslam dikatakan gagal memotong treler yang berada di lorong kiri sebelum merempuh belakang treler tersebut.

    

Beliau berkata akibat rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian hadapan kereta itu remuk teruk dan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk bahagian hadapan menyebabkan kecederaan parah pada bahagian badan.

    

"Tiga kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan kecil setelah berlanggar sesama sendiri bagi mengelak daripada merempuh kenderaan mangsa. Pemandu serta penumpang (tiga kenderaan lain) tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.

    

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Jalan Raja, Fazil Yahaya berkata tujuh anggotanya mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut.

    

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan lewat petang ini.

    

Muhamad Aslam bekerja sebagai Pembantu Perubatan di HSB dan Yusniza pula juga bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Simpang Empat.

- Bernama