Anwar bersedia berdepan tuduhan menghasut
Sebulan sebelum rayuan terakhir berkaitan sabitan kes liwat terhadapnya didengar, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar ibrahim berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan tuduhan menghasut.
Bercakap kepada wartawan selepas memberi keterangan di ibu pejabat PKR, Anwar berkata beliau bersedia untuk menghadapi dakwaan itu jika didakwa.
Bagaimanapun, beliau akan mencabar kesahihan Akta Hasutan 1948 itu.
Ketua umum PKR itu juga percaya bahawa rakyat Malaysia bersama mereka dalam kempen besar-besaran untuk memansuhkan Akta Hasutan.
Anwar yang MP Permatang Pauh, disiasat berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik di Gombak, tiga tahun lalu.
Kenyataan beliau petang tadi dirakam oleh seorang pegawai polis dari ibu pejabat polis Ampang. Ia berlangsung selama kira-kira sejam.
Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan.

