Skuad boling tuai perak di Incheon
Selepas tiga hari mempamerkan balingan hambar, skuad boling negara akhirnya menghadirkan sebutir pingat dalam acara beregu wanita pada temasya Sukan Asia ke-17 semalam.
Pasangan Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane meraih pingat perak selepas mencatatkan 2,518 jatuhan pin, iaitu 35 pin di belakang pasangan Korea Son Yunhee dan Lee Nayoung yang meraih pingat emas.
Pingat gangsa milik satu lagi pasangan Korea Lee Yeongseung dan Jung Dawun dengan jumlah 2,462 pin.
Pasangan beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khe Wei pula menambah koleksi gangsa kontinjen negara selepas gagal ke perlawanan akhir beregu wanita selepas tewas kepada beregu Jepun Ayaka Takahashi/Misaki Matsutomo 16-21 dan 17-21.
Ketua kontinjen negara Datuk Daniyal Balagopal Abdullah berkata walaupun pelumba trek Azizulhasni Awang gagal menyumbang emas seperti disandarkan sebelum ini, namun perjuangan kontinjen negara mencapai sasaran lapan emas belum berakhir.
Katanya, masih ada acara yang belum dipertandingkan yang berada dalam senarai sasaran emas.
"Kita mengharapkan berpasukan skuasy lelaki mampu menyumbang emas dan ini dapat menebus kegagalan skuad berbasikal menyumbang emas semalam," katanya.
Skuasy berpasukan lelaki dan wanita berpeluang menambah koleksi emas negara apabila masing-masing bertemu India di final esok.
Turut membuka peluang kutipan pingat emas adalah skuad memanah apabila trio recurve lelaki berjaya mara ke peringkat akhir, Ahad ini.
Muhammad Zaki Mahazan, wakil tunggal acara compound individu lelaki bakal berentap merebut slot ke peringkat akhir dengan pemanah India Abhishek Verma.
-Bernama

