Lemah urus insinerator punca cetus bantahan
Satu gabungan kumpulan anti-insinerator hari ini menggesa agar beberapa projek insinerator gergasi di seluruh negara dihentikan dengan serta merta.
Gesaan itu dibuat oleh Gerakan Anti-Insinerator Kebangsaan (Gaik) ekoran kebimbangan kumpulan itu terhadap kemampuan pihak berkuasa untuk menguruskannya dengan sempurna.
Mereka mendakwa kelemahan pengurusan terkini bagi insinerator yang lebih kecil di Pulau Pangkor tidak memberikan petanda baik kepada insinerator lain pada masa datang.
"Jika mereka tidak mampu menguruskan insinerator dengan kapasiti sekecil ini, bagaimana mereka mahu menguruskan insinerator dengan keupayaan sepuluh kali ganda daripada itu," kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama dan diperakui oleh MP Serdang Ong Kian Ming, Ketua Lajnah Alam Sekitar PAS Zulkefly Mohamad Omar dan ADUN Pantai Remis Wong May Ing.
Insinerator dengan keupayaan membakar sampah sebanyak 800 ke 1,000 tan ini dijangka dibina di Kepong untuk penduduk Kuala Lumpur serta di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

