Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan mengenai dua tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 dan MH17 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) hari

ini dan berharap insiden itu akan mengubah sistem penerbangan global supaya menjadi lebih baik.

    

Perdana Menteri juga berharap semua negara bersatu dan mencapai kesepakatan mengenai standard baru mengesan pergerakan pesawat dan laluan penerbangan di zon konflik.

    

Semasa berucap pada sesi perbahasan umum ke-69 UNGA di ibu pejabat PBB di sini, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang tampil membantu Malaysia dalam waktu yang sukar ini.

    

"(Penerbangan) MH370 dan MH17 merupakan dua tragedi yang sentiasa akan kami kenang selama-lamanya. Ketika kami bersedih atas kehilangan banyak nyawa, kami berasa tenteram dengan rasa belas kasihan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan kami. Sokongan mereka tidak akan dilupakan," kata Najib.

    

Beliau berkata Malaysia mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan negara sekutu yang memperuntukkan masa dan sumber untuk membantu mencari MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas selepas penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa melintasi ruang udara Laut China Selatan.

    

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi pada keesokan hari.

    

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal.

    

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di Donetsk berhampiran sempadan Rusia.

    

Najib berkata petugas lelaki dan wanita tanpa menghiraukan keselamatan nyawa mereka, meneruskan misi pencarian di laut paling dalam untuk menjejaki MH370.

    

"Kami terhutang budi kepada mereka yang telah membantu dan komitmen kami: Kami tidak akan menghentikan usaha mencari," kata beliau.

    

Najib berkata Malaysia juga amat berterima kasih kepada rakan-rakan antarabangsa yang bekerjasama untuk menyiasat insiden MH17.

"Malaysia akan terus menuntut keadilan bagi mereka yang terkorban. Kami menggesa semua pihak terus memberi kerjasama dalam siasatan," kata beliau.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS