Utusan: Hakikatnya Azmin paling berkuasa
Utusan Malaysia menganggap menteri besar Selangor yang baru Azmin Ali sebagai pemimpin PKR paling berkuasa dan berpengaruh.
Dalam ruangan pojok edisi Ahad akhbar itu “Bisik-bisik Awang Selamat”, akhbar milikan Umno itu berkata Azmin telah menyebabkan Langkah Kajang ilham Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail terkubur.
"Penat badan Wan Azizah bertanding, Azmin yang dapat jawatan. Ramai musuh Azmin dalam PKR terutama yang pro-Wan Azizah sudah macam cacing kepanasan.
“Awang tertanya-tanya apakah upacara memotong kek itu sekadar sandiwara politik terutama Wan Azizah terhadap Azmin?
“Realitinya kini Azmin menjadi pemimpin PKR paling berkuasa dan berpengaruh. Anwar dan isterinya tiada pilihan selain menjaga hati Azmin bagai menatang minyak penuh," tulis Awang Selamat, yang menjadi 'suara' kepada sidang pengarang Utusan.
Awang turut menyatakan Anwar sebelum ini meminggirkan timbalan presiden PKR itu sebelum membuat 'pusingan U' dengan menghadiahkan kek kepada Azmin kelmarin.
"Pelantikan Azmin bermakna terkuburnya Langkah Kajang yang digerakkan oleh Anwar untuk mengangkat dirinya sebagai menteri besar pada asalnya, sebelum ditukar kepada Wan Azizah.
“Wang rakyat terpaksa digunakan untuk mengadakan pilihan raya kecil DUN Kajang walaupun wakil rakyatnya tidak mati.
"Anwar juga bermati-matian mahukan isterinya menjadi menteri besar sehingga mengheret kepada krisis yang panjang dan menyaksikan penderhakaan ke atas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah," tulisnya lagi.
Awang turut memuji sultan Selangor kerana memberi teguran keras kepada PKR ketika bertitah pada majlis istiadat mengangkat sumpah barisan exco, kelmarin yang menyifatkan kemelut dan pergolakan dalam pakatan rakyat di negeri ini bermula dengan 'Langkah Kajang'.
Baginda .menegur PKR kerana meneruskan perbuatan menghina dan mencaci pada bulan Ramadan yang bertujuan menjatuhkan mantan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sultan sebelum ini juga telah secara terbuka menyifatkan PKR dan DAP derhaka kerana ingkar titah berhubung pencalonan menteri besar.
"Untuk seorang raja berulang kali membangkitkan hal itu terhadap pihak yang sama, sudah tentu besar mudarat yang telah dilakukan. Memang itulah hakikatnya. Awang pun hairan mengapa jalan penderhakaan dan budaya songsang yang dipilih?
"Lebih menarik Sultan Selangor terang-terangan mengaitkannya dengan Langkah Kajang yang bertujuan mahu menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar yang masih diterima rakyat," tulis beliau.

