Satu-satunya masyarakat Siam yang tinggal di Pulau Pinang, yang menghadapi ancaman pengusiran oleh pemaju swasta, mengadakan acara nyalaan lilin bagi menyelamatkan kampung 200 tahun mereka di Pulau Tikus daripada cadangan pembinaan hotel.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu Yap Soo Huey berkata, acara malam tadi antaranya dimeriahkan dengan pembentangan slaid gambar, muzik dan tarian.

Penduduk kampung berjaya mengumpulkan kira-kira 150 tandatangan untuk dihantar kepada Penang Burmese Trustees dan rakan kongsinya pemaju Five Star Heritage Sdn Bhd.

Penduduk memperoleh writ mahkamah yang mengarahkan mereka hadir ke mahkamah hujung bulan ini untuk menghadapi nasib mereka.

Bagaimanapun mereka memutuskan untuk mencuba menyelamatkan kampung itu melalui tekanan melalui tandatangan orang ramai.

Pemimpin Gerakan H'ng Khoon Leng antara pihak yang menandatangani petisyen itu dan beliau percaya semua parti politik patut bekerjasama untuk menyelamatkannya.

Menyifatkan Pulau Tikus sebagai “warisan kebudayaan”, petisyen itu berkata, pembinaan hotel itu akan mengancam ke arah penghapusan identiti kebudayaan dan sejarah yang menjadi rumah untuk masyarakat Siam dan Burma sejak 200 tahun lalu.

Tanah itu sebahagian daripada tanah yang diwariskan kepada badan amanah dilantik masyarakat Siam dan Burma oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris bagi pihak Queen Victoria pada 30 Mei 1845, menurut pestisyen.

Sejak itu, tanah itu dikatakan sudah dipecahkan dua kali ekoran arahan mahkamah yang menyaksikan pemegang amanah Siam menguruskan tapak lebih besar, yang menempatkan wat Buddha Chayamangkalaram.

Menurut petisyen itu lagi, pemegang amanah Burma pula mempunyai tapak lebih kecil yang menempatkan pemegang amanah harta tanah Burma dan kampung masyarakat Siam.

Menurut petisyen atas talian itu, pada April 2011, Pemegang Amanah Burma mengadakan usahasama dengan Airmas Development Sdn Bhd untuk bergabung dengan Five Star Heritage Sdn bagi membina hotel bajet.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, pihak berkuasa tempatan tidak diberikan sebarang kebenaran atau arahan kerja kepada pemaju untuk kerja-kerja di tanah itu.

[Baca berita asal]