Jutawan 'loom band' tinggalkan M'sia kerana kuota
Rakyat Malaysia pencipta gelang getah "loom bands" di Amerika Syarikat yang kini menjadi pengusaha berjaya berkata, beliau terpaksa meninggalkan negara ini pada awal 90-an untuk mendapatkan pendidikan.
Cheong Choon Ng menulis di The Guardian bahawa beliau tidak dapat memasuki universiti tempatan kerana kuota Malaysia berasaskan kaum mengehadkan jumlah etnik Cina di menara gading.
“Seperti banyak lagi kawan-kawan saya, saya terpaksa tinggalkan Malaysia untuk ke universiti,” tulisnya dalam akhbar British itu.
Loom bands yang juga dikenali sebagai rainbow loom digunakan dalam seni pembuatan gelang dan lain-lain.
Pada 2011 dan tahun lalu, syarikatnya mencatatkan hasil jualan AS$40 juta bagi produk itu.
Katanya, malah kini keluarga diraja British dan Paus Francis juga memakainya.
“Saya tengok gambar itu dan berfikir sendiri: Wow , ini semua bermula daripada meja makan kami,” katanya.

