Kes Ali: Kumpulan peguam selar mahkamah
Badan kehakiman diselar kerana tidak menghentikan tindakan kerajaan daripada dakwaan “menghukum” aktivis Ali Abd Jalil dengan tangkapan berulang kali.
Ali ditahan untuk kali keempat semalam selepas dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas polis memperoleh tambahan reman tiga hari.
“Jelas sekali pelbagai reman dibuat dengan niat buruk bertujuan menghukum Ali dan bukan cubaan bona fide untuk menyiasat.
“Mengejutkan dan tidak boleh diterima apabila kehakiman tidak dapat dan keberatan menghentikan salah guna kuasa ini dan sebaliknya menjadi rubber stamp (pak angguk) kepada proses reman,” kata penyelaras kempen kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) Michelle Yesudas.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah flashmob dijadual diadakan di Masjid Jamek, Kuala Lumpur hari ini bagi mendesak pembebasan Ali yang berdepan pertuduhan mengkritik sultan.
Sekitar ibu kota juga, semakin banyak grafiti kelihatan yang diconteng di dinding-dinding bagi mendesak pembebasan lelaki 29 tahun itu.

