Perdana Menteri China Li Keqiang merancang untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dan para pegawai kedua-dua negara sedang berbincang untuk menetapkan tarikh paling sesuai bagi lawatan itu.

    

Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang berkata Li bersetuju untuk menerima undangan daripada kerajaan Malaysia untuk melawat negara ini.

    

"Kami sedang mengusahakannya melalui saluran diplomatik dan apa yang palingpenting adalah menentukan masa yang sesuai bagi kedua-dua pihak (Malaysia dan China)," kata Duta itu.

    

Huang berkata demikian dalam rancangan bual bicara bahasa Mandarin "Helo Malaysia" terbitan BERNAMA TV.

    

Sambil menyifatkan hubungan Beijing-Kuala Lumpur sebagai hubungan antara "saudara-mara", beliau berkata pertukaran lawatan di peringkat tertinggi akan menyumbang ke arah mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

    

Huang berkata terdapat tanda-tanda bahawa lebih banyak syarikat dari China berminat untuk menjalankan perniagaan atau melabur di Malaysia.

    

Duta itu selanjutnya berkata bahawa kemunculan China yang semakin meningkat di persada antarabangsa harus dilihat sebagai satu peluang dan bukannya ancaman oleh negara-negara lain.

    

Beliau mengulangi bahawa China tidak berhasrat untuk memperluaskan hagemoninya.

    

Huang menarik perhatian bahawa perdagangan antara China dan negara lain telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi global selama ini.

    

Duta itu berkata sebilangan besar warga China yang melancong ke luar negara juga harus memberi manfaat kepada negara lain.

    

Beliau juga menyambut baik pendirian Malaysia tentang perlunya tuntutan wilayah di Laut China Selatan diselesaikan secara aman.

- Bernama