Polis mula bertindak menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong Kong hari ini.

Tindakan menggunakan gas itu, sesuatu yang amat jarang di Hong Kong diambil setelah cubaan sebelum ini menggunakan penyembur lada gagal menyuraikan mereka di Jalan Harcourt, daerah Admiralty, memberi bayangan tindakan lebih keras mungkin diambil pihak berkuasa.

Ia juga diambil selepas pentadbir bandar mengambil keputusan untuk melancarkan siri baru rundingan bagi penambahbaikan sistem pilihan raya.

Tunjuk perasaan itu bermula apabila sekumpulan aktivis dan mahasiswa

merempuh masuk halangan dan berkhemah di hadapan kompleks pentadbiran kerajaan Jumaat lalu.

Sepanjang hujung minggu ribuan penunjuk perasaan dari gerakan "Occupy Central" menyertai mereka untuk memulakan demonstrasi besar-besaran.

Mereka membuat 'kubu' dari besi penghadang yang pada asalnya diletakkan pihak berkuasa untuk mengawal bilangan penunjuk perasaan.

Mereka turut melindungi muka dan tangan dengan balutan plastik dan

memakai pakaian seperti baju hujan, gogel dan topeng pembedahan bagi menghalang cubaan polis menyuraikan mereka dengan penyembur lada.

Koresponden Al-Jazeera Hong Kong Rob McBride melaporkan gerakan ini semakin membesar dan para penunjuk perasaan kini menanti reaksi kerajaan Beijing.

Polis sehingga kini telah menangkap 78 orang penunjuk perasaan.

Antara para demonstran ialah taikun media Jimmy Lai yang memiliki akhbar Apple Daily, satu-satunya akhbar pro-demokrasi di Hong Kong.

[Baca berita lanjut]