Saham Lynas cecah paras terendah
Saham pelombong nadir bumi, Lynas Corporation Ltd mencecah paras terendah dalam tempoh lima tahun apabila syarikat itu berusaha mengumpulkan A$83 juta daripada pelabur untuk menampung kewangannya, demikian lapor Australian Associated Press (AAP).
Kerugian tahunan syarikat itu juga meningkat tiga kali ganda kepada A$365.8 juta.
Lynas melombong nadir bumi, yang digunakan dalam pelbagai produk teknologi tinggi, di barat Australia, dan memiliki sebuah kilang penapis dekat Kuantan di Malaysia.
AAP melaporkan Lynas berharap dapat mengumpul A$71 juta dengan menawarkan saham baharu kepada pemegang saham sedia ada ditambah dengan A$12 juta lagi menerusi tawaran saham kepada pelabur institusi.
Saham-saham baharu itu akan ditawarkan pada lapan sen setiap satu, lebih rendah berbanding 11.5 sen saham Lynas yang kali terakhir diniagakan sebelum pengumpulan modal diumumkan.
Sejak meneruskan dagangan pada Isnin, sahamnya jatuh 2.75 sen, atau 23.9 peratus kepada 8.75 sen.
Syarikat itu berkata pembiayaan tambahan akan mengukuhkan lembaran imbangannya dan menyediakan mudah tunai apabila ia beralih daripada fasa permulaan kepada operasi perniagaan penuh.
Kerugian Lynas sehingga Jun tahun ini disebabkan terutamanya harga jualan purata rendah bagi logam nadir buminya.
Berikutan harga lemah ia telah mengurangkan kos termasuk memindahkan ibu pejabatnya dari Sydney ke Kuala Lumpur.
- Bernama

